15 Oktober 2016
Gua Cenderawasih, Kangar
Laporan oleh: Ahmad Ra1m1
Foto: Ra1m1, Nusrah Sulaiman
Foto: Ra1m1, Nusrah Sulaiman
Kenapa kami tambahkan Art Day Out dan bukan Distro Day Out
seperti yang diketengahkan kebanyakan zine fest di negeri lain walaupun
beberapa distro turut terlibat sama? Ini kerana kami ingin meluaskan lagi
penjenamaan Perlis Zine Fest yang asalnya kami akan selitkan juga persembahan
muzik akustik, eksperimental, silap mata jalanan, demo papan seluncur, bengkel
lakar cakar/karikatur dan banyak lagi. Oleh itu, kami rasa ada perlunya
diperluaskan tema aktiviti sampingan itu kepada ‘art day out’.
Program sepetang bersama penggiat dan pengkarya seni bawah
tanah dari segala pelosok utara tanahair ini boleh dikatakan sangat berjaya dan
diluar jangkaan. Kami telah merekodkan kehadiran melalui senarai berikut:
Catatan Pinggiran Zine (Langkawi)
Editornya, Jazli Safwan melancarkankan isu pertama sempena
Perlis Zine Fest ini. Beliau yang juga pemilik syarikat Mustika Cetak
menceritakan sedikit sebanyak dari mana aspirasi yang membawa kepada lahirnya
zine ini. Kami amat berbesar hati apabila dinyatakan jelajah berbasikal Pedal
To The Metal ke kawasan beliau memberi inspirasi buatnya.
Eksploitasi Sunyi (Pendang)
Editor, Asraf Mohamad juga melancarkan isu pertamanya di
sini. Antara bakat muda yang akan mewarnai scene penulisan perzine (personal
zine) dan berpontensi untuk pergi jauh. Beliau turut mendeklamasi sajak dari
zine beliau dengan muzik latar akustik gitar. Beliau juga menceritakan
bagaimana terhasilnya zine yang ditulis bersama Najiha yang hanya dikenalinya menerusi laman media sosial.
Antologi: Pari-Pari di Kocekmu (Penang)
Buku koleksi sajak dan cerpen yang turut dilancarkan di
Perlis Zine Fest ini ditulis oleh 3 anak muda dari kumpulan yang bergelar
Pancagaram. Mereka yang merupakan mahasiswa-mahasiswa USM, pulang ke kampung
halaman demi menyokong zine fest ini seterusnya melancarkan buku dan membuat
deklamasi sajak mereka. Persembahan dari Saiful Ghazali mempunyai kelas yang
tersendiri.
LABEL & DISTRO
Marhaen Litera (Guar Chempedak)
Pitri al-Fateh Zainon adalah penulis yang pertama dijemput
untuk membuat bedah buku beliau yang berjudul “Mencari Suci” terbitan ITBM. Ia
merupakan novel pertama yang berani memperkisahkan tentang polemik fahaman
syiah yang akhirnya dapat juga memecahkan masuk ke dalam masyarakat muda di era
moden yang mana pemikiran dan hujah menjadi displin ilmu. Pitri membawa kisah
pemuzik punk yang ingin kembali ke pangkuan agama namun terjerumus dalam
fahaman syiah berbaju sunnah itu. Selain itu Pitri juga memberi ringkasan isi
buku yang ditulis sebelum Mencari Suci berjaya diterbitkan, iaitu “Catatan Tak
Keruan”.
Adam memberi ringkasan mengenai Gelas Zine yang
diterbitkan pada September lalu. Sonnet Distro banyak mengedarkan zine-zine
penulisan melankolik yang tulus.
Adalah distro buku-buku dan label yang baru sahaja
diperkenalkan oleh Jazli Safwan.
Abdul Aziz satu-satunya distro yang mengedarkan tshirt
petang itu. Dia bergabung dengan booth label hardcore Perlis, Blind Sight Records untuk menjual barang
dagangan mereka.
Pemiliknya Safwan Ariffin menjadi pemuzik pengiring kepada
penulis Eksploitasi Sunyi zine mendeklamasi sajaknya. Turut membuat persembahan
solo yang memukau ramai gadis dan haiwan liar. Lagu cover DUM DUM TAK "Hantu" yang dibawakan beliau mengena dengan mesej zine fest ini. Beliau turut membawa sejumlah
buku-buku berkualiti dari tanah seberang dan mempromosikan Trypophobia zine isu
# 2.
TEAM KEMBARA
Penaungnya ‘Persaudaraan Kapchai Turing Malaysia’, Mad Duha
turut hadir membawa barang dagangan rasmi mereka.
Pedal To The Metal (Kangar)
Mempromosikan zine isu # 4 yang terbit pada Ogos lalu dan juga barangan
rasmi Faithcraft Productions. Pedal To The Metal adalah penganjur utama disamping Komik
Gelabah.
Aku Napie (Padang Besar)
Penganjur dan juga satu-satunya kartunis dalam acara ini
yang membawa komik-komik beliau untuk peminat tempatan. Beliau dikenali
menerusi karya komik indie, Bujang Kartun, Kita Kawan dan buku mewarna
Robolism.
Amin Arawi dan rakan-rakan telah memberikan satu persembahan
magis petang ini, ia menyalurkan satu bentuk kesegaran pada jiwa. Amin adalah diantara
pemuzik yang masih aktif dalam arena punk, metal dan akustik di negeri Perlis.
Dulu kami semua baca Kerrang! - Badril Anuar
Perlis Zine Fest juga bertuah kerana Badril Anuar, editor
Thanatopsis zine yang bermula sejak 1993 hadir memberikan ‘talk’ mengenai
keadaan scene dan sejarah penerbitan zine ketika era itu. Walaupun editor utama
Thanatopsis, Dr Noorwan Arif kini bertugas di New Zealand, Badril telah
berkongsi hampir segala kenangan mereka hari ini. Thanatopsis sekarang beroperasi
sebagai webzine oleh Dr. Noorwan.
Azil dari Upanishad Zine turut hadir, begitu juga pemuzik-pemuzik
seperti Zam (ex-STORMING STEELS) kini menubuhkan SAVAGE, Jack Bullet dari
kumpulan Viking metal, VINNIR, MOI LAST VON, PRIBUMI, serta ramai lagi
penyokong-penyokong serta aktivis karya bawah tanah dari Utara Malaysia.
Apabila berkumpulnya semua rakan-rakan lama, terutama
zinester senior (andai status kami boleh dikatakan begitu) ia mengimbas semula
bagaimana kami terjebak dalam pergerakan bawah tanah ini. Apa yang saya tahu,
kami berada ditempat yang sangat ganjil ketika itu, dan tempat kami berada itu terasa
jauh dari para remaja lain. Kami mahu berhubung dengan komuniti kami yang
memberontak dan penentang ini. Apa yang kami tentang?
Kami memberontak pada segalanya, pemikiran lemah dan layu,
muzik yang layu, agama serta doktrin yang layu, bahkan pada fesyen yang layu.
Kami merasakan menentang trend itu sesuatu yang menyeronokkan. Menulis dan
membaca zine dalam genre tetap adalah sesuatu hebat, dan menulis serta membaca
zine indie dianggap tidak utuh pendirian, serta gila fesyen. Namun bagi pihak zine
indie mereka menganggap mereka menepati etika
undergrounders dan tidak hipokrit. Itulah zine bagi kami, tetapi perubahan era menyaksikan zine
kini menjadi agen sebaran seni melancolia peribadi dan juga masih pada konteks penentangan (namun kini hanya tertumpu
pada isu politik/pentadbiran kerajaan dan liberalisasi). Dua perkara ini
menjadi besar dan isu ilmiah. Ia antara jawapan juga kenapa saya sendiri
berubah dari menyunting zine metal tepu kepada zine indie yang terarah kepada
genre travelog. Kita meningkat dewasa dan bosan dengan ideologi jumud pada
satu-satu genre.
Namun saya atau kami (old zinesters) masih ada semangat
‘pemberontakan’ nya lagi. Di antara sebabnya saya menolak apabila diminta untuk
melantunkan puisi dan deklamasi sajak. Itu bukanlah dari jati diri kami. Saya
bukanlah pembaca sajak, hidup saya sendiri adalah satu sajak dan TIDAK
diperlukan lisan untuk orang lain memahaminya. Itu bukanlah gaya kami > metalhead.
Bagaimanapun, kami raikan genre, itu yang pasti. Semua
subgenre zines adalah unik dan punyai kualitinya yang tersendiri. Oleh itu
sebagai mana kami rakyat Perlis yang bebas mazhab serta meraikan semua
pendapat, fatwa dan hukum asalkan ia dari kerangka al Quran dan hadis sahih.
Seperti itu juga kami meraikan dan menghormati semua
penulis-pemuzik-pelukis-pengembara selagi dia bukan dari aliran perdana.
Dengan sambutan yang meriah ini Perlis Zine Fest akan
diteruskan setiap tahun. Moga lebih ramai lagi penglibatan terutamanya dari
subgenre lain akan menyertai kami pada masa depan. Kami akan cuba pastikan ia
kekal percuma dan bebas untuk kita semua berkongsi seni, pemikiran dan ilmu.
* Kerugian yang dilaporkan kepada pihak penganjur berupa
1 CD black metal dan satu botol Coca-Cola dicuri oleh beruk. Diharapnya adalah
sesiapa memberi pinjam CD player kepada beruk itu untuk didengar di puncak
bukit sambil minum Coke. Pihak penganjur sangat berdukacita dan akan memberi
ganti rugi berupa sticker PZF kepada mangsa. Mangsa diminta hubungi penganjur.
* Perlis Zine Fest juga berdukacita apabila mendapat berita dari Yusmadi, editor Poser Zine yang juga pemilik Raung Rekodz kerana terpaksa membatalkan perjalanan dari Tronoh ke Kangar apabila isteri beliau mengalami keguguran.
berok blek metal
BalasPadamPanjang umoq ada lagi aku pi..
BalasPadamHang kena mai wei.. aku nak suruh hang buat talk pasai webzine dan printing...
PadamPanjang umoq ada lagi aku pi..
BalasPadam