Tuesday, January 12, 2021

PERLIS ZINE FEST 2020

PERLIS ZINE FEST 2020
KOMPLEKS BASIKAL LASAK, HUTAN LIPUR BUKIT AYER. 


Escaping reality and going gypsy

Itu adalah slogan Perlis Zine Fest 2020. Perlis zine fest atau singkatannya PZF untuk tahun pasca kovid berlangsung pada 19 Disember . Tetapi bagi yang ingin merasai suasana berkhemah, mereka harus datang sehari awal iaitu 18 Disember disertakan dengan aktiviti-aktiviti tambahan. PZF kali ini memilih Kompleks Basikal Lasak sebagai sarang para peminat, pembikin zine dan basikal lasak berkumpul. Acara rasmi berlangsung pada 19 hb dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang. 

Tanpa hujan tiada yang tumbuh, terkadang kita harus mendamaikan guruh. 

Festival zine kali ini bagi saya adalah luar dari kotak kebiasaan. Dalam hutan, pacak khemah dan didendang dengan suara air sungai yang mengalir di hadapan tapak perkhemahan. Tenang lagi menenangkan. Rencah tambahan bagi yang bermalam pada 18hb itu adalah hujan! * ketawa. Seperti kata Raimi, hanya yang kuat akan survive! Dan saya kata kepada kawan, betullah, hari-hari saya adalah hujan bersamaan dengan tajuk buku saya yang baru diterbitkan oleh Bilik Penyair. Ke mana sahaja saya pergi pasti hujan mengekori. Tapi sayang saya bukan penyair, kalau saya penyair pasti puisi baru bakal keluar dari kotak pemikiran saya malam itu. Kawan saya gelak, saya pun gelak bezanya gelak seronok atau gelak dengan rasa basah yang akan dirasai nanti. 





Acara kami pada 18hb adalah pacak khemah, tarik lampu dari pokok ke pokok dan paling ditunggu ramai adalah potluck ! Siapa saja yang tak suka makan betul? Malam itu makanan kami diuruskan oleh Dina,Nunu dan Mimi. Dengan suasana hujan, lecah dan dingin mereka berjaya memanaskan sup daging kambing dan bakar begerdil yang asalnya harus digoreng * ketawa. Terima kasih diucapakan kepada mereka bertiga, tanpa mereka meranalah perut kami pada malam itu. 






Ketika menunggu makanan siap dimasakc saya dan Mae bersembang soal zine dan pembikinan. Bagi saya zine haruslah bebas dari segala formaliti. Gunting buat sendiri. Tapi haruslah kemas. Kekemasan penting untuk menilai samada sesuatu kerja itu dilakukan secara serius atau main-main. Tak semestinya bebas formaliti, hasilnya macam taik. Segala pemikiran bebas untuk ditulis, orang baca atau tidak itu terserah. Tapi biarlah sedap mata memandang. 

Pelbagai jenis kopi telah saya rasa pada malam itu. Terima kasih untuk kopinya kawan. Terima kasih juga membuatkan saya tak dapat tidur * ketawa. Saya seorang yang tak begitu ramah dengan kopi. Tapi kopi berjaya membuka ruang untuk bersembang dan saling mengenali antara satu sama lain. 

Tepat pukul 12.30 pagi, aktiviti tambahan iaitu mandi sungai dan pertandingan menyelam diadakan. Riuh rendah di bawah, saya hanya mendengar di dalam khemah sambil melihat Dina, Mae dan Juju main kad. Terlalu sejuk dan malam untuk kami sekumpulan anak dara join * senyum. Juara Freediving Challenge malam itu dijuarai oleh Pitri Vesparoda dengan catatan masa 41 saat. 



Sebelum terlena saya mendengar melodi akustik beserta suara serak basah seseorang dalam rintik hujan yang manja-manja. Sedap betul suaranya. Tapi saya dah lupa siapa namanya. Kami tidur dengan lena selepas jam 3.30 pagi. Syukur belajar dari pengalaman perkhemahan yang lepas, sediakan payung sebelum hujan, jadi saya sediakan kain kalis air untuk tidur yang selesa. 

Saya teringat kata-kata Mad Duha pada kami pada petang itu ketika dia menceritakan pengalamannya berbasikal di luar negara. Katanya, biarlah kita jadi 1% daripada 99%. Maksudnya sambil menikmati alam pinjaman tuhan, jangan lupa sisa-sisa sampah, pegang dan buang di tempat sepatutnya. Nak menikmati alam mau, nak buang sampah tak mau. Serupa beruk. Itu saya lah yang kata. 99% tu beruk, 1 % yang reti buang sampah elok-elok. 

Meraikan kesederhanaan 

Udara pagi Sabtu yang sejuk dan basah kerana hujan tidak menghalang acara rasmi PZF. Seawal jam 7 pagi, jungle tracking dan kutip sampah dilakukan dengan penglibatan Trash Hero Perlis yang diketuai oleh Madam Nani. Objektifnya adalah untuk menanam sifat disiplin dalam menjaga alam sekitar. 






Sekitar jam 9 pagi gerai-gerai jualan sudah dipersiapkan. Mengikut rancangan awal, jualan akan dibuat di hadapan khemah masing-masing tetapi disebabkan hujan semalaman keadaan di dalam hutan agak berlecak dan basah jadi jualan dilangsungkan di hadapan perkarangan kompleks. Antara gerai jualan yang terlibat adalah Pancagaram, Rakap Besi, Aku Napie dan beberapa lagi yang mengambil bahagian. 

Acara berlangsung dengan rope jump challenge dan persembahan OSBMX Perlis. Riuh rendah dengan telatah peserta-peserta yang mengambil bahagian. Disela acara-acara yang dipertandingkan ada beberapa persembahan deklamasi sajak, nyanyian akustik dan bedah buku. 

Beberapa buah sajak dideklamasikan oleh kumpulan Pancagaram yang berasal dari Pulau Pinang. Sebuah lagu ciptaan mereka juga dipersembahkan. Kalau tak silap saya tajuknya senja sore. 

Dua buah sajak juga dipersembahkan oleh Nieyna J daripada buku terbarunya bertajuk Hari-Hari Saya Adalah Hujan yang diterbitkan di bawah label Bilik Penyair. 








 






Nyanyian akustik oleh Amin Arawi menghangatkan lagi suasana PZF. Oh, jadi tahulah saya suara serak-serak basah yang saya dengar semalam adalah milik Amin Arawi. Sedap suaranya dan lagu-lagu yang dinyanyikannya juga adalah ciptaannya sendiri. 

Rammy Azmi mengambil slot bedah buku dengan travelog terbarunya, Penaney Pek Buleh Tumpang, Benuduh Pek Buleh Hi Ajar. Rammy menerangkan perjalanan kehidupannya di perkampungan orang asli yang bagi saya sangat menarik dan berisi. Saya juga telah membacanya. 

Beberapa buah anugerah juga disediakan kali ini kerana mendapat sumbangan dari rakan-rakan seperjuagan. Terima kasih tak terhingga dari kami. Antara anugerah yang disampaikan adalah : 

1. Poet of the year 

2. Rope jump challenge 

3. Free diving challenge 

4. BMX Xhibit award 

5. Krieg Stunt, BMX Scorpion Challenge 

6. The best gypsy tent setup. 


Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan juga para peserta yang mengambil bahagian. 

PZF berakhir tepat jam 2 petang. Namun masih ada yang datang untuk melihat suasana dan membeli barang-barang jualan. 

Terima kasih kerana menyokong Perlis Zine Fest 2020! Dengan izinNya, di masa-masa akan datang PZF akan kembali lagi dengan lebih meriah dan lebih baik.

Laporan oleh: Nieyna J

1 comment: