Friday, October 14, 2016

SEJARAH


APA ITU ZINE?
Zine (disebut ‘zeen’ bukan ‘zaien’) adalah singkatan kepada perkataan magazine atau fanzine bermula pada tahun 1965. Ia merupakan bahan bacaan yang diterbitkan secara bebas. Kebiasaan zine adalah tulisan yang mencakupi pada minat golongan minoriti dan diterbitkan dalam skala kecil mengunakan kaedah fotokopi, cetakan gelek atau hanya kertas dan pen. Teknik untuk menyunting zine yang terkenal adalah 'potong dan lekat' tetapi kini ramai yang telah memilih teknik suntingan berkomputer yang ternyata lebih kemas, mudah dan cepat.

Zine pertama dikatakan telah disunting oleh Thomas Paine berjudul Common Sense pada tahun 1776. Penerbitan zine ini mencetuskan kegemparan media dan memberi impak yang besar pada revolusi Amerika Syarikat. Kuasa penulisan Thomas Paine dan penerbitan berdikarinya telah memahat idea bagaimana untuk menjadi seorang zinester sejati. 

Pada kurun ke-19, semakin banyak badan-badan dan pertubuhan terutamanya di kolej mengunakan medium zine untuk menyebarkan ulasan tentang sesuatu subjek dan pandangan. Ini secara tidak langsung membuka pintu kepada kewujudan lebih banyak fanzines.

Fanzine turut membuka satu pendekatan dan tulisan bersifat peribadi yang dipanggil perzine (merujuk kepada ‘personal zines) yang popular sejak 1960 hingga kini. Perzine merupakan siaran atau hebahan kegiatan dan gaya hidup zinester kepada rakan dan orang luar. Pada zaman tersebut punk zines mula dihasilkan bagi mengiringi kegiatan muzik, seni, aktiviti percambahan kugiran dan artis bawah tanah. Kebanyakan zine sangat memfokuskan agenda hak asasi manusia.

Sebelum bermulanya sebaran maklumat melalui aplikasi email dan rangkaian internet, sebuah zine bertajuk Factsheet Five pada tahun 80’an hingga pertengahan 90-an telah memperkenalkan sistem perhubungan melalui surat atau penpal. Sistem ini memberi ruang untuk mereka yang sealiran bertukar-tukar zine (trade) dan menyumbangkan ulasan dalam zine rakan-rakan. Sistem ini seterusnya memberi identiti utama kepada komuniti penulis zine.

Apabila bermulanya Riot Grrrl, sebuah pergerakan punk feminin dari Olympia, Washington, pengeluaran zine semakin meletup. Kandungan zine menjadi semakin memberontak dengan isi-isi yang berteraskan realiti kehidupan, gender, seksual dan berbagai-bagai topik kontroversi yang liar, mentah dan kasar. Pergerakan Riot Grrrl telah mengheret penerbitan zine ke arah aggressif serta penuh amarah hinggalah ke hari ini.

Pada era internet ini, zine lebih menumpukan pada penyebaran melalui web dari jualan muka ke muka. Kebanyakan zine telah diiklankan melalui talian yang ternyata lebih mudah dan ramai capaian. Kebanyakan editor berubah haluan menjadi blogger yang mana ia lebih cepat untuk berbincang dan mendapat maklumbalas. 

Zine dijual, ditukar atau diberikan percuma melalui banyak acara, gerai, simpozium atau ekspo hinggalah ke kedai muzik, kedai buku dan juga di konsert. Ia turut diperolehi melalui surat-menyurat, berhubung kepada editor, dijual melalui web dan juga media sosial.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana arus pemodenan akan membawa aktiviti penerbitan zine?


PERKEMBANGAN ZINE DI PERLIS 
Dimulakan oleh remaja-remaja yang meminat muzik punk/metal pada awal 90’an yang menerbitkan zine seperti Thanatopsis Zine, T.I.K.O.S Zine, Kemenyan Zine, Upanishad Zine, Pontianak Zine yang kemudiannya di teruskan pada era 2000 oleh zine seperti Poser Zine dan Pedal To The Metal zine. 

Seorang pesilat dari Pertubuhan Seni Silat Gayong Negeri Perlis pernah menerbitkan zine seni bela diri beliau suatu ketika dahulu. Mungkin terdapat lagi zine-zine yang tidak dikenali dan tidak mampu untuk kekal dalam bidang penulisan haluan bawah tanah ini tanpa pengikut tegar.

Mungkin juga (risalah/pamplet) memainkan peranan melakar kehebatan gerakan islah oleh tiga Mat (Ahmad Haji Muhammad, Wan Ahmad Wan Daud, Ahmad Mohd Hashim) yang akhirnya membentuk undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Perlis 1959 dan Peruntukan 1963 bahawa rujukan fatwa Perlis adalah Al-Quran dan as Sunnah, yang menjadikan metodologi salaf sebagai rujukan rasmi Negeri Perlis sejak 1964.


PERLIS ZINE FEST

Pertama kali diadakan pada 15 Oktober 2016 untuk meraikan pengiat zine bawah tanah di utara disamping mempromosi karya-karya seni, komik, puisi, pemuzik, penyair, pemikir dari pergerakan golongan minoriti. Terkesan dengan anjuran KL Zine Fest yang berjaya sejak 2006 dan menular ke Johor dan Sabah, kami mengambil inisiatif untuk membawa acara ini kepada pengiat seni penulisan serta lisan ke utara tanahair. 

Perlis Zine Fest dianjurkan secara “Hentam Buat Sendiri” (DIY) sepenuhnya, dan sesiapa sahaja dengan etika dan kendiri yang dimaksudkan amat-amat dialu-alukan untuk menyertainya.

No comments:

Post a Comment