Ahad, 29 Disember 2024

PERLIS ZINE FEST – KULT COMIC AWARD 2024


AKU NAPIE
THE MOST INFLUENTIAL CARTOONIST 2024

Aku Napie atau Hanafie Shafie, merupakan raja doodle tanahair, anak kelahiran Kaki Bukit, Gua Kelam ini (tempat berlakunya PZF tahun ini) mula mencipta nama pada tahun 2009. Beliau seorang yang pendiam, suka makan dan sarat dengan idea. Kadangkala bila otak tepu, beliau capai basikal dan keluar dari kubunya untuk sertai kayuhan bersama Rakap Besi. Gaya lakarannya mempunyai jati diri yang kuat pengaruh dari bauan pekasam sepat Timah Tasoh. Jadi tak hairanlah beliau suka komik-komik berkisar kenangan lalu, autobiografi dan isu-isu panas semasa yang berkaitan tentang suka duka kehidupan. Beliau terkenal melalui karya D.I.Y seperti Bujang Kartun, Robolism, Aku & Dia!, Kucing Aku Jatuh Cinta, Tangan Kiri, Kucing Osem, Kita Kawan, Sembelit, Komik Gelabah dan banyak lagi!

Aku Napie kini telah menjadi gergasi yang sentiasa menerima tempahan lukisannya dari luar negara seperti UK, USA malah Afrika. Dengan wujudnya rumah produksi sendiri bernama Aku Sempoi, beliau semakin ligat menerbitkan karya-karya terbitan mandiri. Beliau sememangnya amat layak untuk menerima Anugerah ini!

AKU NAPIE – I DO AWESOME DOODLE.COMIC.ILLUSTRATION

Aku Napie | Profile | Fiverr

PERLIS ZINE FEST – KULT ZINE AWARD 2024

 ULTIMATE DARKNESS FANZINE

THE MOST INFLUENTIAL UNDERGROUND EDITOR 2024

Pemilihan panel bagi anugerah ini dinilai dari segi impak yang mengiringi penerbitan sebuah zine dan jangka hayatnya, yang sebolehnya mereka haruslah aktif sehingga hari ini. Karl dan Ason, dua orang editor Ultimate Darkness zine yang proaktif dalam bidang penulisan hingga sekarang, kami melihat mereka sebagai entity yang paling layak untuk menerimanya. Bermula dengan isu #1 ada tahun 1996 hingga isu #3 pada tahun 2017, Ultimate Darkness zine terus berkembang lebih prestij dari segi wawancara, ulasan dan reka letak. Ultimate Darkness merupakan suara dan harapan besar bagi pergerakan UG metal scene di Kuala Lumpur. Satu pencapaian besar bagi mereka apabila Cult Never Dies dari London telah bersetuju menerbitkan antalogi zine ini pada tahun 2017. Mereka kini semakin rancak bersama rumah produksi sendiri bernama Astaka Arungan yang telah pun menerbitkan beberapa karya metal klassik tanahair dan sedang dalam proses menerbitkan Astaka Arungan newsletter # 1!

Pautan:

Astaka Arungan

Ultimate Darkness Complete Zine Anthology: Issues 1-4 — CULT NEVER DIES

Selasa, 10 Disember 2024

T-SHIRT RASMI PERLIS ZINE FEST 2024

 


TEMPAHAN PERLIS ZINE FEST 2024 DIBUKA SEKARANG
SIZE: S, M, L , XL, 2XL, 3XL
Hitam, 180gsm
Self-collect pada hari kejadian:
28hb Disember 2024
Woodstalk, Hujan-Hujan Campsite, Gua Kelam.

Tempahan melalui link di bawah:

Selasa, 12 Januari 2021

PERLIS ZINE FEST 2020

PERLIS ZINE FEST 2020
KOMPLEKS BASIKAL LASAK, HUTAN LIPUR BUKIT AYER. 


Escaping reality and going gypsy

Itu adalah slogan Perlis Zine Fest 2020. Perlis zine fest atau singkatannya PZF untuk tahun pasca kovid berlangsung pada 19 Disember . Tetapi bagi yang ingin merasai suasana berkhemah, mereka harus datang sehari awal iaitu 18 Disember disertakan dengan aktiviti-aktiviti tambahan. PZF kali ini memilih Kompleks Basikal Lasak sebagai sarang para peminat, pembikin zine dan basikal lasak berkumpul. Acara rasmi berlangsung pada 19 hb dari pukul 8 pagi sehingga 2 petang. 

Tanpa hujan tiada yang tumbuh, terkadang kita harus mendamaikan guruh. 

Festival zine kali ini bagi saya adalah luar dari kotak kebiasaan. Dalam hutan, pacak khemah dan didendang dengan suara air sungai yang mengalir di hadapan tapak perkhemahan. Tenang lagi menenangkan. Rencah tambahan bagi yang bermalam pada 18hb itu adalah hujan! * ketawa. Seperti kata Raimi, hanya yang kuat akan survive! Dan saya kata kepada kawan, betullah, hari-hari saya adalah hujan bersamaan dengan tajuk buku saya yang baru diterbitkan oleh Bilik Penyair. Ke mana sahaja saya pergi pasti hujan mengekori. Tapi sayang saya bukan penyair, kalau saya penyair pasti puisi baru bakal keluar dari kotak pemikiran saya malam itu. Kawan saya gelak, saya pun gelak bezanya gelak seronok atau gelak dengan rasa basah yang akan dirasai nanti. 





Acara kami pada 18hb adalah pacak khemah, tarik lampu dari pokok ke pokok dan paling ditunggu ramai adalah potluck ! Siapa saja yang tak suka makan betul? Malam itu makanan kami diuruskan oleh Dina,Nunu dan Mimi. Dengan suasana hujan, lecah dan dingin mereka berjaya memanaskan sup daging kambing dan bakar begerdil yang asalnya harus digoreng * ketawa. Terima kasih diucapakan kepada mereka bertiga, tanpa mereka meranalah perut kami pada malam itu. 






Ketika menunggu makanan siap dimasakc saya dan Mae bersembang soal zine dan pembikinan. Bagi saya zine haruslah bebas dari segala formaliti. Gunting buat sendiri. Tapi haruslah kemas. Kekemasan penting untuk menilai samada sesuatu kerja itu dilakukan secara serius atau main-main. Tak semestinya bebas formaliti, hasilnya macam taik. Segala pemikiran bebas untuk ditulis, orang baca atau tidak itu terserah. Tapi biarlah sedap mata memandang. 

Pelbagai jenis kopi telah saya rasa pada malam itu. Terima kasih untuk kopinya kawan. Terima kasih juga membuatkan saya tak dapat tidur * ketawa. Saya seorang yang tak begitu ramah dengan kopi. Tapi kopi berjaya membuka ruang untuk bersembang dan saling mengenali antara satu sama lain. 

Tepat pukul 12.30 pagi, aktiviti tambahan iaitu mandi sungai dan pertandingan menyelam diadakan. Riuh rendah di bawah, saya hanya mendengar di dalam khemah sambil melihat Dina, Mae dan Juju main kad. Terlalu sejuk dan malam untuk kami sekumpulan anak dara join * senyum. Juara Freediving Challenge malam itu dijuarai oleh Pitri Vesparoda dengan catatan masa 41 saat. 



Sebelum terlena saya mendengar melodi akustik beserta suara serak basah seseorang dalam rintik hujan yang manja-manja. Sedap betul suaranya. Tapi saya dah lupa siapa namanya. Kami tidur dengan lena selepas jam 3.30 pagi. Syukur belajar dari pengalaman perkhemahan yang lepas, sediakan payung sebelum hujan, jadi saya sediakan kain kalis air untuk tidur yang selesa. 

Saya teringat kata-kata Mad Duha pada kami pada petang itu ketika dia menceritakan pengalamannya berbasikal di luar negara. Katanya, biarlah kita jadi 1% daripada 99%. Maksudnya sambil menikmati alam pinjaman tuhan, jangan lupa sisa-sisa sampah, pegang dan buang di tempat sepatutnya. Nak menikmati alam mau, nak buang sampah tak mau. Serupa beruk. Itu saya lah yang kata. 99% tu beruk, 1 % yang reti buang sampah elok-elok. 

Meraikan kesederhanaan 

Udara pagi Sabtu yang sejuk dan basah kerana hujan tidak menghalang acara rasmi PZF. Seawal jam 7 pagi, jungle tracking dan kutip sampah dilakukan dengan penglibatan Trash Hero Perlis yang diketuai oleh Madam Nani. Objektifnya adalah untuk menanam sifat disiplin dalam menjaga alam sekitar. 






Sekitar jam 9 pagi gerai-gerai jualan sudah dipersiapkan. Mengikut rancangan awal, jualan akan dibuat di hadapan khemah masing-masing tetapi disebabkan hujan semalaman keadaan di dalam hutan agak berlecak dan basah jadi jualan dilangsungkan di hadapan perkarangan kompleks. Antara gerai jualan yang terlibat adalah Pancagaram, Rakap Besi, Aku Napie dan beberapa lagi yang mengambil bahagian. 

Acara berlangsung dengan rope jump challenge dan persembahan OSBMX Perlis. Riuh rendah dengan telatah peserta-peserta yang mengambil bahagian. Disela acara-acara yang dipertandingkan ada beberapa persembahan deklamasi sajak, nyanyian akustik dan bedah buku. 

Beberapa buah sajak dideklamasikan oleh kumpulan Pancagaram yang berasal dari Pulau Pinang. Sebuah lagu ciptaan mereka juga dipersembahkan. Kalau tak silap saya tajuknya senja sore. 

Dua buah sajak juga dipersembahkan oleh Nieyna J daripada buku terbarunya bertajuk Hari-Hari Saya Adalah Hujan yang diterbitkan di bawah label Bilik Penyair. 








 






Nyanyian akustik oleh Amin Arawi menghangatkan lagi suasana PZF. Oh, jadi tahulah saya suara serak-serak basah yang saya dengar semalam adalah milik Amin Arawi. Sedap suaranya dan lagu-lagu yang dinyanyikannya juga adalah ciptaannya sendiri. 

Rammy Azmi mengambil slot bedah buku dengan travelog terbarunya, Penaney Pek Buleh Tumpang, Benuduh Pek Buleh Hi Ajar. Rammy menerangkan perjalanan kehidupannya di perkampungan orang asli yang bagi saya sangat menarik dan berisi. Saya juga telah membacanya. 

Beberapa buah anugerah juga disediakan kali ini kerana mendapat sumbangan dari rakan-rakan seperjuagan. Terima kasih tak terhingga dari kami. Antara anugerah yang disampaikan adalah : 

1. Poet of the year 

2. Rope jump challenge 

3. Free diving challenge 

4. BMX Xhibit award 

5. Krieg Stunt, BMX Scorpion Challenge 

6. The best gypsy tent setup. 


Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan juga para peserta yang mengambil bahagian. 

PZF berakhir tepat jam 2 petang. Namun masih ada yang datang untuk melihat suasana dan membeli barang-barang jualan. 

Terima kasih kerana menyokong Perlis Zine Fest 2020! Dengan izinNya, di masa-masa akan datang PZF akan kembali lagi dengan lebih meriah dan lebih baik.

Laporan oleh: Nieyna J

Sabtu, 19 Disember 2020

PZF 2020 SELESAI!


Perlis Zine Fest 2020 berlangsung dan tamat dengan jayanya pada jam 2.30 petang tadi. Kita bergerak tidak terlalu menyasar daripada rancangan asal walaupun takdir telah membawa hujan ke rimba ilham ini. Terima kasih kepada semua biarpun yang datang untuk mendokong prinsip zine fest ini atau yang hanya datang kerana suka berkhemah, mungkin anda mendapat sedikit manfaat daripada penganjuran fest ini? Ia sudah cukup bermakna buat kami. Macam yang saya katakan kepada Chainsore tadi, biarpun tadi hanya kita 7 orang sahaja daripada semua peserta yang hadir turun kutip sampah, sekurang-kurang kita dapat tunjuk contoh kepada yang lain bahawa mengotorkan alam ini merupakan perbuatan yang buruk dan memudaratkan masyarakat. Itu pun dah kira cukup bagus. Apatah lagi jika ada orang timbul kesedaran untuk mengamalkan kebersihan dalam diri setelah melihat aktiviti begini? Itu lagilah bagus.

Team Perlis Zine Fest 2020:

Aduha - persiapan tempat, bazaar, merchandise.(Atur campsites, tempat masak, mkn, solat, persembahan)

Badril dan Madam Nanie - trekking, rope jump, selam. (trekking sambil kutip sampah, juri rope jump, juri freediving).

Apitt Nollie, PSD, Pon - BMX 
(Pushbike, pameran & stunt).

Roohi - electrician & diplomasi.
(Siaraya, rundingan sponsor).

Chain @ syed - siaraya / host
(Provide p.a sistem, funder, host).

Nina J - persembahan
(Urus nyanyi, ceramah, bedah buku, sajak, etc dan co-op dengan Chain).

Amin Arawi - persembahan.

Dina, Nunu dan Mimi - masak, makanan.
(urus potluck utk mlm dan breakfast).

Aku Napie, Pitri al-Fateh, Che Sood, Pak Ku, Chip,  dan semua yang lain, yang saya terlepas pandang namun sama-sama membantu untuk menjadikan PZF kali ini suatu memori yang indah. Anda semua terbaik dan cool!

Sempena PZF kali ni, kita telah mendapat sedikit sumbangan dari rakan-rakan. Jadi PZF telah memberi penghargaan/anugerah seperti berikut:

- Kult zine ( the most influential underground editor 2020). * Anugerah utama!

- PZF poet of the year 
- PZF Rope jump challenge
- PZF Freediving challenge
- PZF BMX Xhibit award
- PZF Krieg Stunt: BMX scorpion challenge.
dan The best gypsy tent set up.

Sehingga ketemu lagi. 
- Rammy Azmi
20/12/2020


 

Jumaat, 18 Disember 2020

THE MOST INFLUENTIAL UNDERGROUND EDITOR 2020


Hari ini Perlis Zine Fest telah membawakan satu anugerah khas kepada editor zine. KULT ZINE: THE MOST INFLUENTIAL UNDERGROUND EDITOR 2020. Pengiktirafan buat penulis haluan bawah tanah telah dianugerahkan kepada saudara Pyan @ Sufian, editor Bangkit! Zine. Pyan bermula dengan menyunting Qiamat atau kemudiannya dikenali sebagai Nathias Zine sejak tahun 1992. Pelopor UG scene Mersing, Johor ini turut menganggotai kumpulan Ancient Crypt bersama adiknya yang juga editor zine bernama Nocturnal. Apabila Nathias zine tidak lagi aktif, Pyan menulis pula di dalam blog Ekstrim Media untuk menyalurkan informasi daripada dunia UG dengan cara yang lebih moden dan pantas. Pada 2016 Pyan kembali ke dunia penerbitan zine dan menyunting Bangkit! Zine hingga kini. Bangkit sudah mencecah 14 isu yang mana isu 13.5 telah dikeluarkan khas untuk #PZF2020. Kamdungannya banyak memfokuskan UG scene dari utara terutamanya dari negeri Perlis. Di usia 51 tahun, Pyan masih giat menyunting zine malah menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa pada hari ini. Dia mempunyai Bangkit distro yang menaungi zines lain antaranya Reveal zine, Small Man zine, Transit zine, Perang Dunia Terakhir, Ranjau Metal dan Distorsi Ekstrim selain menganggotai kumpulan muzik berat, Omen dari Kelantan. Tidak syak lagi beliau adalah editor zine paling berpengaruh di Malaysia bagi tahun 2020!

 – Perlis Zine Fest, 19 Disember 2020