Sunday, July 2, 2017

PERLIS ZINE FEST & ART DAY OUT 2017

Perlis Zine Fest melangkah ke tahun ke-2 dengan motto kali ini “Kerat & Tampal” atau dalam istilah perkembangan suntingan zine ia dipanggil CUT AND PASTE. Kami sengaja tidak mengunakan ayat molek ‘gunting dan lekat’ kerana dalam loghat Perlis, kerat dan tampal lebih mesra. Ia merupakan satu teknik menghasilkan reka letak zine pada satu ketika dahulu kerana komputer masih belum mampu dimiliki orang awam. Kebanyakan editor zine hanya mengunakan mesin taip (termasuk saya sendiri ketika menyunting Kemenyan isu #1), jadi kami akan mengunakan tajuk-tajuk, huruf-huruf dari akhbar yang dipotong-potong, dihubung dan digamkan sebagai tajuk atau tema dalam zine. Begitu juga foto, logo dan sebagainya. Apabila difotokopi, ia akan membeli efek vintage dan khas buat sesebuah zine. Walaupun kini, kebanyakan zine kita mengunakan reka letak komputer sepenuhnya, masih ada sebilangan editor yang cekal dengan teknik “kerat dan tampal” ini.

Perlis Zine Fest 2017 memilih hari Eid Fitr yang ke -7 atas persetujuan komuniti #PerlisZineFest yang tertubuh sejak tahun lalu. 1 Julai 2017 dipilih kerana kebanyakan anak-anak Perlis-Kedah-Penang dari perantauan masih berada dikampung halaman, maka tidak perlu lagi merancang cuti untuk balik ke Perlis. 

Sebagai tambahan bulan Julai dikatakan adalah International Zine Month? Ini semua dimulakan oleh editor Brainscan zine, Alex Wrekk pada 2011 hanya sebagai troll bila munculnya sambutan pelik-pelik macam Star Wars May, World Goth Day, Donut Day. Alex Wrekk ini juga adalah pengasas Portland Zine Symposium. Idea dari Alex tiba-tiba mendapat sambutan, maka dengan sebab itulah kita dengar fasal International Zine Month di media-media sosial Malaysia tahun ini… termasuklah juga saya!

Komuniti Perlis Zine Fest sepakat memilih Gua Cenderawasih sekali lagi sebagai lokasi penganjuran kerana kemudahan yang disediakan: surau, tandas, café selain nyaman, permandangan yang cantik, dan paling penting PERCUMA. Namun pada tahun ini, kami memilih untuk menganjurkan fest ini di dalam gua. Beberapa orang pengiat zines, label dan distro yang mengikuti PZF tahun lalu tidak dapat hadir namun dengan datangnya SANGGAR RAYA dari Penang dengan membawakan bengkel seni ukir kayu memberi bonus pada PZF tahun ini. Mereka memberikan taklimat ringkas tentang sejarah wood craving/printing selain memberikan tunjuk ajar cetakan t-shirt kepada semua yang berminat.


Aku Napie duk kalut dengan bengkel orang, 
harap tahun hadapan ada bengkel doodle dari beliau!









RAUNG REKORDS yang sememangnya sebuah label dari Perlis kini beroperasi di Tronoh turut hadir membawakan katalog mereka. Yusmadi tidak dapat pulang tahun lalu kerana masalah kesihatan isterinya. Bagi yang tidak tahu, RAUNG adalah sebuah label indie yang memfokuskan penerbitan kaset.





PZF kali ini turut diserikan dengan kehadiran Wan Mohd. Amirul Wan Daud @ Petak Daud yang dalam siri “Jelajah Puisi: Merenung Matahari Mac” merentas 3 negeri di utara. Petak Daud yang dikenali sebagai pemuzik dan penulis ini mempunyai himpunan karya seperti Perempuan Tua di Kedai Sup, Petak, Menuju Nafas Terakhir, Rasok dan banyak lagi. Petak Daud membawa karya beliau dalam bentuk akustik pada petang itu. Seorang yang penyantun lagi berbakat.





PZF tidak akan lengkap tanpa sosok-sosok dari Pancagaram yang diwakili Saiful Ghazali yang terus melantonkan puisi dengan nada menyayup jauh di hati dan larut di dasar gua sami. Kemudian Pancagaram membawa pendatang baru, Muhammad Sholhi yang menitip karya-karya Pyan Habib. Akif Jebat tidak ketinggalan memberikan persembahan akustika secara solo pada hari ini.












Adam dari Sonnet Distro membawakan isu-isu baru dari katalog zines yang dibawah naungan mereka. Manakala penasihat kerohanian PZF, Pitri al-Fateh Zainon mengisi slot bercerita mengenai sejarah zine beliau “Aku, Pekan Kecil dan Skateboard” yang pernah disunting beliau suatu ketika dahulu.




Oleh kerana Syawal masih terasa, jamuan potluck turut diadakan. Sambutannya meriah sekali. Jump Rope Challenge juga berlangsung dengan jayanya kecuali Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak yang gagal disempurnakan kerana masing-masing membawa anak-anak tanpa sebarang kelengkapan mewarna sendiri. Kami PZF mohon maaf kerana hanya dapat menyediakan hadiah sahaja.

THE ARAWI tanpa Amin yang sedang sibuk diluar negara tetap memberikan persembahan yang mengasikkan mungkin disebabkan ambient gua sami itu sendiri.



T-shirt rasmi PZF tahun ini yang dicetak oleh Jasli Safwan, penulis Catatan Pinggiran zine juga habis terjual. Namun masih boleh ditempah secara online dari beliau jika masih ada yang berminat.

Encik Roohi @ Brown dilantik sebagai hos PZF tahun ini.



















PZF juga berterima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong dari belakang, terutamanya Cipun, Asrap Mohamad dan Firdaus. Kehadiran mereka telah melancarkan acara ini. Ini bukan peristiwa individu, ia pergerakan bersama. Tiada sesiapa melebihi yang lain sebaliknya hanya pemudahcara sahaja.

Di PZF, sesiapa sahaja boleh persembahkan, hadiahkan, jual dan bertukar-tukar karya seni tanpa gusar tidak diberi penilaian sewajarnya (tetapi tolong jangan ada sikap rockstar atau komersil taik sini) Tiada kelas disini. Kita pun buat fest dalam gua sahaja. Gua yang pernah dihuni oleh sami Buddha 20 tahun lalu.

~ Ahmad Ra1m1

No comments:

Post a Comment