Saturday, October 15, 2016

PERLIS ZINE FEST & ART DAY OUT 2016

PERLIS ZINE FEST & ART DAY OUT 2016
15 Oktober 2016
Gua Cenderawasih, Kangar
Laporan oleh: Ahmad Ra1m1
Foto: Ra1m1, Nusrah Sulaiman

Kenapa kami tambahkan Art Day Out dan bukan Distro Day Out seperti yang diketengahkan kebanyakan zine fest di negeri lain walaupun beberapa distro turut terlibat sama? Ini kerana kami ingin meluaskan lagi penjenamaan Perlis Zine Fest yang asalnya kami akan selitkan juga persembahan muzik akustik, eksperimental, silap mata jalanan, demo papan seluncur, bengkel lakar cakar/karikatur dan banyak lagi. Oleh itu, kami rasa ada perlunya diperluaskan tema aktiviti sampingan itu kepada ‘art day out’.








Program sepetang bersama penggiat dan pengkarya seni bawah tanah dari segala pelosok utara tanahair ini boleh dikatakan sangat berjaya dan diluar jangkaan. Kami telah merekodkan kehadiran melalui senarai berikut:

ZINE




Catatan Pinggiran Zine (Langkawi)
Editornya, Jazli Safwan melancarkankan isu pertama sempena Perlis Zine Fest ini. Beliau yang juga pemilik syarikat Mustika Cetak menceritakan sedikit sebanyak dari mana aspirasi yang membawa kepada lahirnya zine ini. Kami amat berbesar hati apabila dinyatakan jelajah berbasikal Pedal To The Metal ke kawasan beliau memberi inspirasi buatnya.





Eksploitasi Sunyi (Pendang)
Editor, Asraf Mohamad juga melancarkan isu pertamanya di sini. Antara bakat muda yang akan mewarnai scene penulisan perzine (personal zine) dan berpontensi untuk pergi jauh. Beliau turut mendeklamasi sajak dari zine beliau dengan muzik latar akustik gitar. Beliau juga menceritakan bagaimana terhasilnya zine yang ditulis bersama Najiha yang hanya dikenalinya menerusi laman media sosial.






Antologi: Pari-Pari di Kocekmu (Penang)
Buku koleksi sajak dan cerpen yang turut dilancarkan di Perlis Zine Fest ini ditulis oleh 3 anak muda dari kumpulan yang bergelar Pancagaram. Mereka yang merupakan mahasiswa-mahasiswa USM, pulang ke kampung halaman demi menyokong zine fest ini seterusnya melancarkan buku dan membuat deklamasi sajak mereka. Persembahan dari Saiful Ghazali mempunyai kelas yang tersendiri.

LABEL & DISTRO




Marhaen Litera (Guar Chempedak)
Pitri al-Fateh Zainon adalah penulis yang pertama dijemput untuk membuat bedah buku beliau yang berjudul “Mencari Suci” terbitan ITBM. Ia merupakan novel pertama yang berani memperkisahkan tentang polemik fahaman syiah yang akhirnya dapat juga memecahkan masuk ke dalam masyarakat muda di era moden yang mana pemikiran dan hujah menjadi displin ilmu. Pitri membawa kisah pemuzik punk yang ingin kembali ke pangkuan agama namun terjerumus dalam fahaman syiah berbaju sunnah itu. Selain itu Pitri juga memberi ringkasan isi buku yang ditulis sebelum Mencari Suci berjaya diterbitkan, iaitu “Catatan Tak Keruan”.





SONNET DISTRO (Alor Setar)
Adam memberi ringkasan mengenai Gelas Zine yang diterbitkan pada September lalu. Sonnet Distro banyak mengedarkan zine-zine penulisan melankolik yang tulus.


HANGTERA PRODUCTION (Langkawi)
Adalah distro buku-buku dan label yang baru sahaja diperkenalkan oleh Jazli Safwan.




METAL ZONE DISTRO (ALor Setar)
Abdul Aziz satu-satunya distro yang mengedarkan tshirt petang itu. Dia bergabung dengan booth label hardcore Perlis, Blind Sight Records untuk menjual barang dagangan mereka.




SERAK-SERAK (Sungai Buloh)
Pemiliknya Safwan Ariffin menjadi pemuzik pengiring kepada penulis Eksploitasi Sunyi zine mendeklamasi sajaknya. Turut membuat persembahan solo yang memukau ramai gadis dan haiwan liar. Lagu cover DUM DUM TAK "Hantu" yang dibawakan beliau mengena dengan mesej zine fest ini. Beliau turut membawa sejumlah buku-buku berkualiti dari tanah seberang dan mempromosikan Trypophobia zine isu # 2.

TEAM KEMBARA


Perkëtum (Katong)
Penaungnya ‘Persaudaraan Kapchai Turing Malaysia’, Mad Duha turut hadir membawa barang dagangan rasmi mereka.




Pedal To The Metal (Kangar)
Mempromosikan zine isu # 4 yang terbit pada Ogos lalu dan juga barangan rasmi Faithcraft Productions. Pedal To The Metal adalah penganjur utama disamping Komik Gelabah.

KOMIK




Aku Napie (Padang Besar)
Penganjur dan juga satu-satunya kartunis dalam acara ini yang membawa komik-komik beliau untuk peminat tempatan. Beliau dikenali menerusi karya komik indie, Bujang Kartun, Kita Kawan dan buku mewarna Robolism.






PERSEMBAHAN MUZIKAL
Amin Arawi dan rakan-rakan telah memberikan satu persembahan magis petang ini, ia menyalurkan satu bentuk kesegaran pada jiwa. Amin adalah diantara pemuzik yang masih aktif dalam arena punk, metal dan akustik di negeri Perlis.


Dulu kami semua baca Kerrang! - Badril Anuar


Perlis Zine Fest juga bertuah kerana Badril Anuar, editor Thanatopsis zine yang bermula sejak 1993 hadir memberikan ‘talk’ mengenai keadaan scene dan sejarah penerbitan zine ketika era itu. Walaupun editor utama Thanatopsis, Dr Noorwan Arif kini bertugas di New Zealand, Badril telah berkongsi hampir segala kenangan mereka hari ini. Thanatopsis sekarang beroperasi sebagai webzine oleh Dr. Noorwan.

Azil dari Upanishad Zine turut hadir, begitu juga pemuzik-pemuzik seperti Zam (ex-STORMING STEELS) kini menubuhkan SAVAGE, Jack Bullet dari kumpulan Viking metal, VINNIR, MOI LAST VON, PRIBUMI, serta ramai lagi penyokong-penyokong serta aktivis karya bawah tanah dari Utara Malaysia.





Apabila berkumpulnya semua rakan-rakan lama, terutama zinester senior (andai status kami boleh dikatakan begitu) ia mengimbas semula bagaimana kami terjebak dalam pergerakan bawah tanah ini. Apa yang saya tahu, kami berada ditempat yang sangat ganjil ketika itu, dan tempat kami berada itu terasa jauh dari para remaja lain. Kami mahu berhubung dengan komuniti kami yang memberontak dan penentang ini. Apa yang kami tentang?

Kami memberontak pada segalanya, pemikiran lemah dan layu, muzik yang layu, agama serta doktrin yang layu, bahkan pada fesyen yang layu. Kami merasakan menentang trend itu sesuatu yang menyeronokkan. Menulis dan membaca zine dalam genre tetap adalah sesuatu hebat, dan menulis serta membaca zine indie dianggap tidak utuh pendirian, serta gila fesyen. Namun bagi pihak zine indie mereka menganggap mereka menepati etika undergrounders dan tidak hipokrit. Itulah zine bagi kami, tetapi perubahan era menyaksikan zine kini menjadi agen sebaran seni melancolia peribadi dan juga masih pada konteks penentangan (namun kini hanya tertumpu pada isu politik/pentadbiran kerajaan dan liberalisasi). Dua perkara ini menjadi besar dan isu ilmiah. Ia antara jawapan juga kenapa saya sendiri berubah dari menyunting zine metal tepu kepada zine indie yang terarah kepada genre travelog. Kita meningkat dewasa dan bosan dengan ideologi jumud pada satu-satu genre.

Namun saya atau kami (old zinesters) masih ada semangat ‘pemberontakan’ nya lagi. Di antara sebabnya saya menolak apabila diminta untuk melantunkan puisi dan deklamasi sajak. Itu bukanlah dari jati diri kami. Saya bukanlah pembaca sajak, hidup saya sendiri adalah satu sajak dan TIDAK diperlukan lisan untuk orang lain memahaminya. Itu bukanlah gaya kami > metalhead.

Bagaimanapun, kami raikan genre, itu yang pasti. Semua subgenre zines adalah unik dan punyai kualitinya yang tersendiri. Oleh itu sebagai mana kami rakyat Perlis yang bebas mazhab serta meraikan semua pendapat, fatwa dan hukum asalkan ia dari kerangka al Quran dan hadis sahih. Seperti itu juga kami meraikan dan menghormati semua penulis-pemuzik-pelukis-pengembara selagi dia bukan dari aliran perdana.

Dengan sambutan yang meriah ini Perlis Zine Fest akan diteruskan setiap tahun. Moga lebih ramai lagi penglibatan terutamanya dari subgenre lain akan menyertai kami pada masa depan. Kami akan cuba pastikan ia kekal percuma dan bebas untuk kita semua berkongsi seni, pemikiran dan ilmu.

* Kerugian yang dilaporkan kepada pihak penganjur berupa 1 CD black metal dan satu botol Coca-Cola dicuri oleh beruk. Diharapnya adalah sesiapa memberi pinjam CD player kepada beruk itu untuk didengar di puncak bukit sambil minum Coke. Pihak penganjur sangat berdukacita dan akan memberi ganti rugi berupa sticker PZF kepada mangsa. Mangsa diminta hubungi penganjur.

* Perlis Zine Fest juga berdukacita apabila mendapat berita dari Yusmadi, editor Poser Zine yang juga pemilik Raung Rekodz kerana terpaksa membatalkan perjalanan dari Tronoh ke Kangar apabila isteri beliau mengalami keguguran.

4 comments:

  1. Replies
    1. Hang kena mai wei.. aku nak suruh hang buat talk pasai webzine dan printing...

      Delete